Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan masalah cukai yang dihadapi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Tambah beliau, Anwar selaku Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membatalkan cukai dan penalti yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas universiti tersebut.

Ka Siong turut mempersoalkan tindakan LHDN yang menuntut cukai meskipun audit telah dilakukan pada 2023.

“Pada tahun 2023, LHDN telah mengaudit Yayasan Pendidikan UTAE dan mendapati semuanya dalam keadaan baik. Jadi mengapa kini kita dikenakan tuntutan cukai dan penalti yang tiba-tiba?” soalnya.

Terdahulu beliau menerusi perkongsian di Facebook turut membangkitkan isu berkenaan.

Dilaporkan, LHDN menuntut RM83 juta cukai yang tidak dibayar selain turut mengenakan penalti kepada UTAR.

Menurut beliau, universiti itu menerima surat tuntutan cukai daripada LHDN pada Jun tahun ini.

Katanya, Perdana Menteri telah menyatakan kesediaan untuk membantu UTAR berhubung isu tersebut sebelum LHDN menyerahkan laporan kepadanya pada Julai.

“Saya kemudiannya segera menulis surat dan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk membincangkan perkara ini. Perdana Menteri sedia membantu dan seterusnya mengarahkan pihak LHDN untuk mengendalikan kes ini.

“Pada bulan Julai, LHDN telah menyerahkan laporan kepada Perdana Menteri, mengekalkan keputusan asal mereka.

“Saya sekali lagi berjumpa dengan Perdana Menteri dan memaklumkan kepada beliau bahawa pihak LHDN tetap bertegas untuk mengenakan cukai tersebut,” ujarnya.

Jelas beliau selepas dua bulan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan LHDN, UTAR masih belum menerima sebarang keputusan muktamad bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sejak dua bulan lalu, pengurusan UTAR telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pegawai Kementerian Kewangan dan LHDN. Kini di peringkat akhir, kami masih menunggu pegawai Kementerian membentangkan keputusan muktamad kepada YAB Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan.

“Dalam pada itu, tarikh akhir pembayaran cukai telah dilanjutkan kepada 30 September. Penting untuk dijelaskan bahawa di bawah Akta 555, Universiti Tunku Abdul Rahman dimiliki oleh Yayasan Pendidikan UTAR (UEF), yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan ketika itu pada tahun 2002.

“Tambahan pula, pada tahun 2003, UEF telah diberikan pengecualian cukai oleh Kementerian Kewangan,” katanya lagi.

Sebagai rekod Jumaat yang lalu, LHDN menafikan dakwaan ia membatalkan status pengecualian cukai UTAR dan Yayasan Pendidikan UTAR (Utaref).

Sebaliknya Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, status pengecualian cukai Utaref, yang diberikan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 pada 1 Julai 2003, tidak berubah dan tidak pernah dibatalkan. -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here