Zambry.

KEPALA BATAS – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) menyampaikan 12 resolusi yang menekankan lanskap memperkukuhkan sistem pendidikan negara untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara kandungan resolusi tersebut ialah jawatan guru media diwujudkan di semua sekolah; kuarters guru-guru di Sabah dan Sarawak ditambah dan dibaik pulih; atasi isu kekosongan anggota khidmat pengurusan diatasi dan mewujudkan lapisan gred baharu untuk pengetua bagi membolehkan penolong kanan dijadikan pelapis.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menerima resolusi tersebut mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, resolusi itu lebih bersifat harapan daripada warga pendidik dalam keperluan terkini termasuk memulihkan prasarana yang sememangnya diberi perhatian oleh kerajaan.

“Keperluan-keperluan ini tidak hanya untuk memperbaiki prasarana tetapi juga memastikan keberlanjutan kepimpinan di sekolah.

Zambry.

“Para pengetua adalah pemimpin di sekolah masing-masing dan pandangan mereka adalah penting dalam menambah baik sistem pendidikan penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62, di sini, hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu dihadiri 674 pengetua seluruh negara.

Mengulas lanjut Zambry berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan memberi perhatian kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan, terutamanya berkaitan isu prasarana sekolah.

“Perdana Menteri amat menitikberatkan perkara asas sekiranya ia melibatkan sekolah-sekolah di negara ini.

“Contoh kita boleh lihat seperti pembaikan tandas yang mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak dan ini sudah tentunya akan berlanjutan kepada hal-hal yang lain yang berkaitan dengan sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here