Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau kawasan banjir di Kluang, hari ini

JOHOR BAHRU – Seramai 891 mangsa banjir daripada 262 keluarga di negeri ini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tiga daerah setakat tengah hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di Kluang, Pontian dan Batu Pahat itu terus meningkat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah itu meningkat berbanding puku 10 pagi tadi yang mencatatkan 808 mangsa daripada 240 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

“Kluang mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 708 orang daripada 208 ditempatkan di lapan PPS setakat pukul 12 tengahari ini, berbanding 674 daripada 199 keluarga di enam PPS sejak semalam.

“Kesemua mangsa banjir di Kluang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar (193 mangsa, 57 keluarga), SK Seri Kampung Renggam (40 mangsa,16 keluarga), Dewan Kampung Kolam Air (58 mangsa, 13 keluarga), SK Simpang Renggam (37 mangsa , 15 keluarga), Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang (62 mangsa, 17 keluarga), dan Balairaya Parit Haji Hashim (32 mangsa, 11 keluarga).

“Dua PPS di Kluang berlaku penambahan mangsa banjir iaitu SK Seri Kencana (142 mangsa, 40 keluarga) dan SK Sungai Linau (144 mangsa, 39 keluarga),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, di Pontian juga mencatatkan peningkatan mangsa iaitu 131 orang daripada 41 keluarga berbanding 120 orang daripada 39 keluarga pagi tadi yang ditempatkan di SK Seri Anom.

Sementara satu lagi PPS dibuka di SK Parit Markom menempatkan 37 orang daripada 11 keluarga.

Selain itu ujar beliau, seramai 15 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di sebuah PPS di SK Seri Bunut, Batu Pahat yang dibuka pukul 8 pagi tadi.

Menurut laporan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), dua sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Sembrong di batu Dua Sembrong di Batu Pahat (3.28 meter) dan Sungai Kesang di Sungai Tangkak Kampung Sri Makmor (3.64 meter)

Laporan JPS juga menunjukkan enam sungai sudah berada pada paras waspada iaitu Sungai Benut di Simpang Renggam iaitu 6.11 meter, Sungai Lenik di Ladang Chaah di Batu Pahat (5.12 meter) dan Sungai Sarang buaya di Muar (2.15 meter).

Sungai Muar di Simpang Lima Darat dalam daerah Tangkak pula berada para paras 4.06 meter, Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak (2.65 meter) dan Sungai Jemaluang di Sungai Paya Dato di Mersing (1.13 meter).

Sementara ramalan cuaca oleh Jabatan Meterologi Malaysia, setakat pukul 12 tengah hari meramalkan tiada hujan lebat dan ribut petir di semua daerah negeri ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here