KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 bagi sektor pendidikan perlu menstrukturkan semula bantuan atau subsidi kerajaan kepada murid dan pelajar supaya golongan yang benar-benar memerlukan dibantu untuk mendapatkan akses pendidikan.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, ia bagi mengelak wujud jurang yang besar daripada segi akses kepada pendidikan yang disediakan oleh kerajaan antara golongan miskin termasuk yang tinggal di pedalaman dengan golongan kaya.
Jelas Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, Belanjawan 2025 merupakan salah satu cara paling berkesan untuk membantu golongan miskin keluar daripada kesempitan hidup dengan memastikan anak-anak mereka mendapat akses pendidikan sempurna, seterusnya meningkatkan mobiliti sosial mereka.
“Kumpulan pelajar miskin misalnya, memerlukan bantuan sama ada dari segi pengangkutan atau penginapan, jadi asrama perlu disediakan kepada mereka untuk memudahkan akses kepada sistem pendidikan yang telah disediakan kerajaan kepada semua murid.
“Menyediakan subsidi bersasar seperti ini penting supaya lebih ramai kumpulan yang lebih memerlukan dapat dibantu dan semua itu bermula daripada bagaimana kita mengagihkan peruntukan dan memberi keutamaan dalam Belanjawan 2025,” katanya, di sini, hari ini.
Selain peruntukan lebih besar kepada pelajar miskin, Anuar berkata, Belanjawan 2025 bagi sektor pendidikan juga perlu memberi tumpuan kepada usaha berterusan memperkasakan sumber manusia khususnya dalam melahirkan guru berkualiti dan berkemahiran.
Jelas beliau, ia bagi memastikan kualiti penyampaian pengajaran dan pembelajaran para guru di sekolah dapat dilakukan dengan lebih baik serta berkualiti.
Dalam masa sama, tambahnya, Belanjawan 2025 bagi sektor pendidikan juga perlu memberi tumpuan supaya para murid dan pelajar di negara ini tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan pendidikan.
“Sehubungan itu, peruntukan besar perlu disediakan untuk menyediakan infrastruktur ke arah pendigitalan pendidikan seperti pembelian gajet dan rangkaian internet selain latihan berasaskan kemahiran teknologi maklumat kepada para guru.
“Ini bagi memastikan para murid dan pelajar kita tidak ketinggalan dari segi pendigitalan pendidikan dan mereka dapat bersedia untuk menguasai ilmu-ilmu baharu yang sewajarnya dikuasai oleh generasi hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette