Dua lelaki warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Kota Tinggi hari ini atas atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah memakai pakaian menjolok mata hingga mendatangkan kegusaran awam

KOTA TINGGI – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap dua lelaki asing atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah memakai pakaian mencolok mata hingga mendatangkan kegusaran awam ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sini Sabtu lalu.

Majistret NurKhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kepada setiap setiap seorang  atau satu bulan penjara jika gagal bayar denda ke atas warga Taiwan Arthur Wang, 66, dan warga India Prasad Papoli, 70.

Mengikut Pertuduhan ke atas Arthur Wang, dia didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan berpakaian menjolok mata di jalan utama Jalan Desaru, daerah Pengerang.

Satanarayana Prasad Papoli, warga India didakwa melakukan perbuatan sama dengan berpakaian menjolok mata di perkarangan Lotus Desaru Hotel  di daerah  Pengerang.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 4 hingga 6 petang dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tiga bulan dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafqr Ab Latif memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada warga asing dan rakyat tempatan agar berpakaian sopan dan mengikut adat budaya negara yang dilawati.

Arthur yang merupakan seorang pesara dan aktivis dalam rayuannya memohon denda ringan dikenakan dengan alasan tidak mengenali dan memahami budaya konservatif di negara ini.

Selain itu, dia memberitahu mahkamah pakaian yang dipakainya adalah pakaian orang asli di ‘Orchid Island’ di Taiwan yang dia memakai pakaian tersebut bertujuan untuk mempromosikan budaya itu.

“Saya minta maaf kepada kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia atas kesalahan ini hingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan ulangi perbuatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Satanarayana yang merupakan bekas peguam dalam rayuannya pula memohon denda dikurangkan kerana dia sudah berusia 70 tahun, mempunyai isteri yang bertugas sebagai doktor dan datang ke sini untuk mengikuti program amal dan sentiasa mengikuti program kebajikqn untuk bantu golongan susah.

Majistret kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM5,000 setiap seorang dan penjara satu bulan jika gagal membayar denda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast