Alas kaki bercorak masjid yang dirampas polis daripada peniaga di khemah bazar jualan di Lebuh Pasar, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Dua peniaga ditahan bagi membantu siasatan menjual alas kaki tertera gambar menyerupai bentuk kaabah dan masjid di sebuah khemah bazar jualan di Lebuh Pasar di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki warga tempatan berusia 26 dan 41 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam.

“Sehari sebelum itu, pengadu melihat beberapa alas kaki bercorak kaabah serta masjid yang dijual kepada orang ramai di khemah jualan tersebut.

Alas kaki bercorak kaabah yang dirampas di khemah bazar Deepavali di Lebuh Pasar, dekat Pulau Pinang.

“Susulan itu, pengadu membeli alas kaki tersebut sebelum tampil membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, kita menahan dua lelaki yang masing-masing merupakan pemilik gerai serta pekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Alwi, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan mengganggu siasatan polis membabitkan kes tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here