TANGKAK – Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam dua kemalangan berasingan, di sini, hari ini dan semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan pertama melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 2.7 Jalan Sialang, di sini, pukul 5.50 pagi tadi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta dalam perjalanan dari Selandar, Melaka menghala ke Kluang.
“Apabila sampai di tempat kejadian semasa lampu isyarat berwarna hijau, kereta itu bergerak dan membelok ke kanan.
“Motosikal jenis Yamaha 125ZR dittunggang seorang pemuda datang dari arah bertentangan lalu melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu penunggang tersebut yang berusia 29 tahun mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara dalam kemalangan kedua, beliau berkata, berlaku di Kilometer 8.5 Simpang 4, Jalan Parit Kemang, Tanjung Gading Kesat Laut, di sini, pukul 7.45 pagi semalam.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal Yamaha 135 LC dan sebuah kereta Proton Saga.
“Kemalangan berlaku apabila kereta itu dalam perjalanan dari Kesang Laut menghala ke Tanjung Agas.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut keluar dari simpang dan masuk ke jalan utama lalu dilanggar kereta itu yang datang dari Kesang Laut,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut, penunggang berkenaan yang berusia 23 tahun cedera parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.
Mangsa katanya, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di HPSF.
Roslan memberitahu, kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.- MalaysiaGazette