Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Pasangan yang berpisah digalakkan untuk mengelak daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Islam mengajar untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.

“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.

“Justeru, setelah berpisah, berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baru dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Dalam artikel bertajuk ‘Dilema rumahtangan: Untuk mereka yang berbahagia, bertahan, sedang berjuang dan sedang terluka’, beliau berkata, selain itu sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak.

Ini kerana anak-anak mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa

Beliau berpesan, jangan sekali-kali mencederakan emosi anak-anak kerana mereka  mempunyai hak untuk merasai kasih sayang ibu bapa.

“Anak-anak adalah amanah dari Allah, dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian,” nasihat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Tambah Zulkifli, dalam menghadapi perpisahan doa dan munajat kepada Allah SWT adalah sandaran utama sebagai hamba-Nya dengan berdoa untuk diberikan kekuatan, kesabaran, serta petunjuk dalam melalui ujian.

Doa menurut beliau, menjadi penghubung rohani antara individu dan Tuhan, menjadikan seseorang sebagai insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa juga cabaran hidup.

Perkahwinan menurut beliau, adalah satu institusi yang amat berharga dan memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua pihak.

Namun jika perceraian adalah jalan yang terbaik maka ia perlu dilakukan dengan cara yang paling baik bagi menjaga maruah dan harga diri masing-masing.

Sebagai manusia katanya, pasti tidak ada kesempurnan tetapi usaha untuk menjadi insan yang lebih baik menjadi paling utama.

Dalam pada itu beliau menasihatkan, supaya menjadi insan yang sentiasa mendamaikan dan memberi nasihat dengan kebaikan bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.

Di dalam situasi yang penuh dengan konflik, sebaiknya setiap individu perlu berusaha untuk menjadi orang yang mendamaikan dan memperbaiki keadaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast