KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia menangguhkan pelaksanaan larangan pameran runcit sehingga garis panduan yang sesuai dan mekanisme sokongan kewangan dapat diperkenalkan.
Presidennya, Hong Chee Meng berkata, kerajaan tidak boleh mengenakan polisi tanpa mempertimbangkan kesan ekonomi yang lebih luas, terutamanya kepada peruncit kecil.
Beliau mendakwa, larangan pameran produk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah diwartakan baru-baru ini dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.
Akibatnya, ramai dalam sektor peruncitan tidak berpuas hati kerana peruncit perlu menanggung kos yang besar untuk pematuhan dan hanya diberikan tempoh enam bulan untuk mematuhi peraturan tersebut.
Chee Meng berkata, langkah kerajaan melarang pameran produk tembakau dan vape di premis kedai runcit adalah terlalu drastik dan dibuat dengan tergesa-gesa dan puluhan ribu peruncit kecil dijangka perlu mematuhi peraturan ini menjelang 1 April 2025.
“Tiada pertimbangan diberikan kepada peruncit kecil yang akan menghadapi cabaran dari segi kos perlaksanaan untuk mematuhi peraturan tersebut.
“Setiap kedai perlu menggunakan jumlah yang besar untuk membuat pengubahsuaian fizikal bagi menyembunyikan produk-produk ini daripada pelanggan tetapi pada masa yang sama kerajaan tidak menawarkan bantuan kewangan atau pelaksanaan secara berperingkat. Ini membebankan perniagaan kecil tanpa sebarang pertimbangan.
“Ini melibatkan kos yang besar untuk permulaan dalam membuat pengubahsuaian rak produk di kedai-kedai, dan kami sudah pun menghadapi situasi yang sukar dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa peraturan di bawah Akta 852 akan dilaksanakan serta-merta dan sebahagiannya secara berperingkat-peringkat.
Menurut KKM larangan pameran produk akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 April 2025.
Menurut Chee Meng, setiap peruncit mungkin menanggung kos sehingga RM6,000 untuk mematuhi larangan pameran ini and ia memberikan tekanan kewangan yang besar kepada perniagaan kecil.
Secara keseluruhan, kos ini boleh mencecah hampir RM300 juta untuk pelaksanaan di seluruh negara menjelang 1 April 2025, ujar beliau lagi.
Di samping itu, FSGMAM juga sangat khuatir dengan kesan larangan pameran akan menggalakkan peningkatan produk rokok dan vape haram, kerana produk yang sah akan tersembunyi daripada dilihat pelanggan.
Pasaran haram, yang sudah menjadi isu serius di Malaysia, mungkin akan mengalami lonjakan yang tinggi, sekali gus memberikan kesan kepada
perniagaan yang sah.
“Dengan memaksa produk sah disembunyikan dari pandangan secara runcit, kerajaan membuka pintu untuk produk seludup. Ia akan menjadi lebih sukar untuk mengesan kerana produk sah dan seludup sama-sama tidak dapat dilihat.
“Pengguna juga mungkin akan beralih kepada produk seludup dan ini hanya akan merugikan perniagaan yang sah,” tambah Chee Meng.- MalaysiaGazette