Shahir (lima dari kanan) selepas mengadakan pertemuan dengan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Hak Pengguna Sejahtera (HAKS) mengusulkan beberapa cadangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai langkah untuk memperkasakan isu halal kepada rakyat.

Pengerusinya, Shahir Adnan berkata, cadangan itu dikemukakan pihaknya menerusi kunjungan hormat ke Bahagian Pengurusan Halal JAKIM baru-baru ini.

Katanya, persepsi negatif masyarakat yang menunding jari kepada proses pensijilan perlu diterangkan dengan lebih jelas.

“Contohnya, tempoh 30 hari sesebuah syarikat mendapatkan sijil halal adalah sangat ideal kerana audit yang dijalankan meliputi semua perkara dari segi pusat sembelihan mesti halal dengan ada pekerja Islam bertauliah memantau proses, syarikat yang membekalkan bahan mentah mesti halal dan ribuan ramuan untuk ratusan menu juga perlu halal.

“Jadi, isu halal ini tidak hanya berkaitan makanan yang asalnya babi dan alkohol sahaja.

“Kedua, kerajaan perlu menambah tenaga kerja di sektor Halal JAKIM agar dapat diperkasakan tenaga kerja untuk penyelidikan, audit dan penguatkuasaan.

“Ketiga, pihak NGO (HAKS) mencadangkan agar teknologi “automation” digunakan dalam usaha mempercepatkan proses saringan bahan mentah dengan menggunakan data yang terkumpul,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Shahir berkata, Bahagian Halal JAKIM ternyata komited memberi perkhidmatan Pensijilan Halal Malaysia yang cekap, cepat, berintegriti, berkredibiliti serta memenuhi keperluan pengguna berdasarkan undang-undang, peraturan, standard dan garis panduan berkaitan yang diguna pakai di dalam pengurusan Pensijilan Halal Malaysia.

Katanya, di negara ini, makanan halal ditakrifkan oleh garis panduan ketat yang digariskan dalam Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Istilah “Halal”) 1975.

Untuk layak sebagai halal kata beliau, makanan mesti memenuhi kriteria iaitu haiwan tersebut tidak boleh datang atau mengandungi mana-mana bahagian haiwan yang dilarang oleh syarak termasuk tidak disembelih mengikut garis panduan Islam.

Kedua katanya, bahan yang digunakan mestilah tulen serta makanan itu halal tidak boleh mengandungi sebarang kekotoran mengikut hukum syarak.

Ketiga, perkakas dan peralatan mestilah tidak boleh disediakan, diproses atau dikendalikan dengan peralatan atau peralatan yang dianggap najis mengikut piawaian Islam.

Manakala, yang keempat kata beliau, perlu dilakukan pengasingan yang mana makanan halal tidak boleh bersentuhan dengan makanan bukan halal atau bahan najis semasa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here