Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli bersama dua teman wanitanya, Norshazrina Md Zamri dan Norhidayah Mahadi dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hasli atau dikenali sebagai ‘Hot Daddy’  didakwa terlibat dengan membuat pengiklanan khidmat persundalan.

Hakim Mahkamah Sesyen Siti Shakirah Mokhtarudin membuat keputusan itu selepas nama ketiga-tiga tertuduh dipanggil beberapa kali tetapi mereka tidak kelihatan.

Siti Shakirah kemudian menundakan prosiding untuk dua jam sebelah pagi namun ketiga-tiga tertuduh masih tidak muncul.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap semua tertuduh.

Di mahkamah lain, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin juga telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Norshazrina yang didakwa memiliki bahan lucah.

Peguam yang mewakili Hot Daddy, Muhammad Faris Abrar Othman memberitahu media, beliau tidak dapat hubungi anak guamnya walaupun panggilan dibuat berkali-kali hari ini.

“Saya sudah memberitahu kepada anak guam tentang prosiding pada hari ini, mereka tidak jawab telefon,” katanya.

Mahkamah menetapkan 8 November depan bagi sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh iaitu Hasli Ikhwan Arif, Norshazrina Md dan Norhidayah didakwa bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalannya menggunakan aplikasi X yang mana orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman, di sini, pada pukul 10.10 pagi 16 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh, masing-masing telah diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, seorang lelaki dikesan menjalankan aktiviti menjual rakaman video seksnya dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial ditahan di Janda Baik, Pahang.

Suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada jam 2.30 petang 17 Januari lalu.

Dalam serbuan sama, polis menahan dua teman wanitanya di rumah yang turut didiami oleh bapa lelaki terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast