Fadhlina (kiri) bersama Amirudin menekan buzzer sebagai gimik ketika pelancaran Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Cempaka, Saujana Impian di sini, hari ini.

KAJANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan keputusan pertukaran guru-guru dari 12 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Pasir Gudang, Johor yang sepatutnya mengajar di sekolah lain.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dibuat susulan banyak faktor yang tidak dipertimbangkan ketika arahan pertukaran itu dibuat sebelum ini.

Katanya, Keputusan penangguhan itu sehingga  proses-proses berkait rapat pembelajaran dan pendidikan murid-murid di sekolah terlibat dapat diteruskan dan akan dilakukan secara berfasa mulai tahun hadapan.

“Sebenarnya pertukaran kerja guru ini perkara biasa, tetapi isu itu kita ambil perhatian. Ia harus ambil beberapa perkara aspek penting termasuk tidak boleh mengganggu proses pembelajaran anak-anak ketika proses pertukaran guru berlaku.

“Jadi, kerana isu tersebut dapat banyak perhatian banyak pihak, kita juga melihat ada faktor tidak dipertimbangkan ketika arahan pertukaran itu dibuat, maka kita telah tangguhkan keputusan pertukaran itu sehingga proses-proses berkait rapat tentang pembelajaran dan pendidikan anak ini dapat diteruskan dan pertukaran itu secara fasa mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tekad Reformasi Pendidikan yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memohon pertukaran tersebut ditangguhkan selepas guru-guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) termasuk ibu bapa datang bertemu dengannya memohon pertukaran itu ditangguhkan.

Menurutnya, mereka tidak membantah proses pertukaran tersebut tetapi, mereka berpendapat adalah baik sekiranya dilakukan pada awal atau akhir tahun.

“Mereka bimbang jika proses pertukaran guru berlaku sekarang secara mengejut dan tidak secara berfasa akan menjejaskan murid-murid terutama Darjah 6 yang akan menduduki peperiksaan,” ujar Hassan.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Pertukaran guru dari 12 SJKC ditangguhkan – Exco pendidikan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast