Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof .

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah membentuk kerjasama dengan agensi kerajaan dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) untuk melakukan proses pemulihan secara menyeluruh terhadap ahli GISB Holdings (GISBH).

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pemulihan daripada segi akidah dan bimbingan agama terhadap ahli GISBH itu merangkumi pelbagai peringkat usia bagi jangka pendek dan panjang.

“Tindakan pembangunan pelan telah dimulakan pada 23 September lalu bagi penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kepada kanak-kanak. Keutamaan diberikan kepada kebajikan dan keselamatan mereka.

“Sehingga kini, seramai 20 orang guru al-Riqab MAIS telah dipertanggungjawabkan untuk mengajar seramai 261 orang kanak-kanak di Rumah Kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Modul yang digunakan dalam proses pemulihan kanak-kanak merupakan modul khas yang dibangunkan sendiri oleh MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Pengunaan modul itu telah dilaksanakan pada bermula 1 Oktober lalu. Selain itu, keperluan asas termasuk asas ibadah solat telah disalurkan untuk kanak-kanak ini.

“Kami juga mempunyai Pusat Pemulihan Majlis iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang berperanan menguruskan perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak.

“Selain itu, 26 rumah pemulihan al-riqab juga telah disediakan bagi tujuan pemulihan ahli GISBH dengan modul yang sama. Untuk jangka masa panjang, mereka yang telah menjalani proses pemulihan boleh menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Hal ini bertujuan untuk pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi mereka tetapi ia tertakluk kepada syarat tertentu,” tambahnya.

Dalam pada itu, MAIS akan terus komited untuk memastikan tindakan bersepadu bagi membendung sebarang gerakan penyebaran ajaran sesat di Selangor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here