Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mendenda seorang wanita sebanyak RM8,000 selepas beliau mengaku bersalah menganiaya bayi lelaki dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu kanak-kanak itu.

Pengasuh bayi itu, Hew Foong Chun, 66, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Azrol Abdullah.

Azrol memerintahkan wanita itu dipenjara sembilan bulan jika tidak membayar denda tersebut, selain tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

“Mahkamah juga menetapkan cagaran RM1,000 dengan penjamin selain melakukan khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini,” katanya.

Tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki berusia 18 hari ketika kejadian dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu mangsa sehingga boleh menyebabkan kesihatan mangsa terjejas.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah residensi di Bukit Jalil, Cheras pada 15 September.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here