Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pesara kerajaan kerugian kira-kira RM107,000 akibat diperdaya dalam skim pelaburan yang tidak wujud.

Mangsa, Zubir Jaafar, 62, berkata, dia mengetahui pelaburan itu melalui rakan yang sudah lama dikenalinya.

Rakannya juga seorang ejen skim pelaburan berkenaan telah memujuk untuk menyertai skim berkenaan.

Untuk meyakinkannya, rakan tersebut menunjukkan dia mempunyai sebilangan pelabur di bawahnya.

“Saya tertarik untuk melabur kerana dia menunjukkan bukti secara bersemuka seperti dokumen dan laman web yang memperlihatkan mereka sebagai syarikat sah,” katanya pada sidang media hari ini.

Zubir Jaafar

Zubir mendakwa, pelaburan berkenaan menjanjikan pulangan dividen akan dimasukkan ke alam akaun pelabur setiap 1 hingga 15 hari bulan setiap bulan.

Akibat terpedaya dengan pujukan rakannya, Zubir membuat transaksi di dua akaun bank yang berbeza, masing-masing sebanyak RM69,000 dan RM138,000.

“Saya semak di dalam sistem pelaburan yang diberikan oleh suspek dan saya dapat keuntungan, malah berjaya mengeluarkan duit itu.

“Daripada RM207,000 yang dilaburkan, saya hanya menerima RM90,000 sahaja. Pulangan ini adalah hasil pelaburan selama tujuh bulan.

“Saya mula berasa ditipu apabila dividen pada bulan kelapan menghadapi masalah, dan wang tidak dapat dipindahkan serta tiada tindakan lanjut diambil.

“Saya cuba menghubunginya, namun dia memberitahu telah pergi ke Indonesia untuk berjumpa pihak pengurusan utama yang berpusat di sana,” ujar beliau.

Susulan itu, beliau membuat aduan kejadian tersebut kepada Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Zubir berkata, laporan polis sudah dibuat semalam, 6 Oktober 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast