Fadhlina Sidek

KAJANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan sesekali berkompromi terhadap isu-isu yang melibatkan kes buli di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pembuli selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Saya ingin tegaskan, buli adalah buli, tidak kira anak siapa pun. Anak selebriti (atau) anak menteri sekalipun. Buli adalah buli.

“Kita takkan kompromi dalam soal ini. Kita telah pun buat tindakan tegas dan bersama ambil tindakan dengan pihak autoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Inisiatif Reformasi Pendidikan di Dewan Sri Cempaka, Saujana Impian, di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau dikenali sebagai Tam Spider mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama.

Beliau kesal dengan pihak sekolah terbabit yang tidak peka dan gagal mengambil tindakan terhadap masalah buli di sekolah itu.

Susulan pendedahan Tam, beberapa orang ibu bapa di sekolah yang sama tampil mendedahkan perkara sama.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan kes buli membabitkan anak Tam Spider dan pelajar lain.

Sulizme menjelaskan setakat Sabtu lalu, lima laporan polis sudah diterima pihaknya berkaitan isu tersebut.

Sementara itu, Fadhlina berkata, pada masa ini pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut.

Beliau berkata, garis panduan untuk atasi masalah buli sudah dibuat dan menegaskan mahu memastikan seluruh ekosistem persekolahan selamat. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here