KUANTAN – Lazimnya ibu yang sarat mengandung mengidam untuk memakan makanan sebelum bersalin.
Namun berbeza dengan Sharifah Nur Najwa Syed Othman, 25, yang mengidam untuk menaiki jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ujar wanita yang hamil 36 minggu itu, beliau tidak menyangka karenah pelik itu dilayan oleh suaminya, Syed Amirul Roshid Syed Mohd Sukri, 27, walaupun ditolak sebanyak dua kali sebelum ini.
”Mula terlintas nak naik jentera bomba selepas tengok perarakan sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang pada 31 Ogos lalu.
”Selepas itu saya beritahu kepada suami nak naik. Kali pertama saya cakap nak naik lori bomba, suami fikir saya bergurau, dua kali juga saya tanya, tapi suami buat tidak layan.
“Akhirnya, saya merajuk dan menangis sebab betul-betul hendak naik lori (jentera) bomba,” katanya yang mesra dipanggil Wawa.
Wawa berkata, suaminya memberi kejutan dengan memberi alasan supaya menemaninya ke mesyuarat di Balai Bomba Taman Tas, di sini, walhal dia telah merancang bersama kenalan Syed Roshid untuk menunaikan impian wanita tersebut.
Video Berkaitan
@malaysiagazette Seorang ibu hamil 36 minggu tersenyum selepas mengidam untuk menaiki jentera bomba sebelum bersalin. Impiannya dikabulkan selepas berpeluang menyarung pakaian keselamatan bomba dan di Balai Bomba Taman Tas di Kuantan hari ini. MGViral MalaysiaGazette Video : Syahira Yahya
”Terima kasih kepada abang-abang bomba yang sangat baik hati dan mesra. Bila anak sudah besar nanti, boleh tunjukkan video ini dan ceritakan pengalaman ibu mengidam naik lori bomba.
“Mana tahu dia (anak) minat nak jadi anggota bomba pula satu hari nanti,” ujarnya.
Bagi mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu berkata, pada mula sangkaannya isteri sekadar bergurau dengan hajat yang disifatkan ‘buang tabiat’.
Namun dek kerana sayangkan isteri beliau memohon bantuan sahabatnya dan menyuarakan apa yang diidamkan oleh Wawa selain meminta pandangan bagaimana untuk merealisasikannya.
Walupun ditertawakan oleh rakannya, peguam pelatih itu optimis supaya dapat melakukan perkara yang menggembirakan hati isterinya.
”Kawan saya gelak berdekah panjang sebab permintaan itu memang sangat pelik, orang lain minta makanan tapi Wawa nak naik jentera.
“Saya fikir buang tabiat, sebab ada juga tengok video ibu hamil hendak naik kereta polis. Tapi bila isteri merajuk dan menangis, barulah saya faham dia serius hendak naik jentera bomba.
”Jangan lepas ini dia minta nak naik jet pejuang ke sudah, risau mengidam yang sukar nak tunaikan ,” katanya.
Sementara itu , Pegawai Bomba Kanan II (KUP), Mohd Khairul Izhan Mohamed berkata, pihak bomba sentiasa berusaha membantu dan memberi khidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau bangsa.
”Bomba sentiasa memberi peluang untuk memenuhi semua impian termasuk permintaan seorang ibu hamil yang mengidam untuk menaiki jentera bomba.
“Pelanggan seperti ini bukan perkara baharu bagi kami, namun ini kali pertama permintaan seperti ini direalisasikan di Pahang.” katanya.
Pada Jumaat lalu, tular rakaman video di laman Facebook rasmi BBP Taman Tas yang memaparkan seorang wanita hamil menaiki jentera bomba dengan mengenakan keselamatan bomba mendapat pelbagai reaksi netizen. – MalaysiaGazette