Warga emas yang tercedera di kapala selepas menjadi mangsa ragut beg tangan ketika ke kedai berhampiran dalam insiden awal pagi Isnin di Bangsa, ibu negara.

KUALA LUMPUR – Rutin harian seorang warga emas yang ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar berakhir dengan tragedi apabila menjadi mangsa samun awal pagi ini.

Mangsa mengalami pendarahan di kepala dalam insiden di Jalan Limau Manis, Bangsar, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, polis menerima aduan mengenai insiden samun itu kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa warga tempatan berusia 78 tahun sedang dalam perjalanan kedai berhampiran untuk membeli surat khabar yang merupakan rutin hariannya sebelum tiba-tiba dihampiri sebuah motosikal dinaiki suspek yang kemudian meragut wanita tersebut.

“Akibat kejadian itu, tiada sebarang kerugian direkodkan kerana tiada barangan berharga dalam beg mangsa itu yang diragut suspek.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang diberikan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pegawai perubatan memaklumkan polis bahawa mangsa mengalami pendarahan agak serius di kepala dan masih diletakkan dalam pemantauan pasukan perubatan di hospital tersebut.

Katanya, rentetan daripada kejadian itu, polis sedang melakukan siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera melakukan rompak.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 2 minit 45 saat yang memaparkan seorang wanita warga emas berpakaian merah jambu diragut oleh seorang penunggang motosikal tular di media sosial.

Wanita warga emas itu terjatuh akibat diragut dan mengalami kecederaan di kepala sebelum disedari orang awam yang kemudian membantu mangsa. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here