Aziss (kiri) akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden Bersatu.

BATU KAWAN – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara 15 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang yang akan bertanding merebut jawatan peringkat pusat pada pemilihan parti berkenaan bagi 2024-2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti negeri, Mazhar Zolbahar berkata, Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin akan bersaing bagi jawatan Naib Presiden manakala lima lagi ketua bahagian akan bertanding untuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Mereka yang akan berentap untuk MPT ialah Ketua Bahagian Permatang Pauh yang juga Adun Penanti, Zulkefli Bakar; Adun Telok Ayer Tawar, Azmi Alang (Tasek Gelugor); Azahari Aris (Bayan Baru); Rasman Farish Shamsuddin (Bukit Gelugor) dan bekas Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishak (Kepala Batas).

“Adun Seberang Jaya, Izhar Shah Ariff Shah pula menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Ketua Armada.

Mazhar menunjukkan senarai ketua bahagian Bersatu Pulau Pinang yang menang tanpa bertanding.

“Selain itu, tiga individu termasuk bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi Parlimen Balik Pulau, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid dan Ketua Penerangan Armada negeri, Muhammad Ashraf Hayub Khan akan bertanding untuk ahli jawatankuasa Armada,” katanya pada sidang media di pejabat Bersatu negeri di sini, malam tadi.

Tambahnya, empat ketua srikandi negeri ini akan bertanding bagi ahli jawatankuasa srikandi manakala seorang calon untuk merebut jawatankuasa srikandi muda.

“Secara keseluruhan sebanyak 391 borang pencalonan diterima untuk semua kategori namun hanya 323 pencalonan disahkan layak bertanding untuk pusat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazhar memaklumkan sebanyak tujuh ketua bahagian Bersatu negeri ini menang tanpa bertanding.

“Mereka terdiri daripada bahagian Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Batu Kawan, Nibong Tebal, Jelutong, Bukit Gelugor dan Bayan Baru.

“Kita mempunyai 13 bahagian namun tiga bahagian tidak layak bersidang iaitu Bukit Mertajam, Bukit Bendera dan Tanjong susulan cawangan tersebut tidak cukup syarat pemilihan.

“Memandangkan tujuh ketua bahagian telah menang tanpa bertanding jadi pemilihan bahagian pada 2 November nanti akan menyaksikan pertandingan membabitkan Balik Pulau, Kepala Batas dan Bagan,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad memaklumkan pihaknya menerima 8,531 borang pencalonan daripada ahli seluruh negara bagi menentusahkan kelayakan dan keabsahan untuk mengambil bahagian pada pemilihan parti bagi sesi 2024-2027.

Katanya, seramai 93 calon bertanding bagi peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Armada Malaysia (53), Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia (39) dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia (27).

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding bagi mengisi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pengisytiharan rasmi kemenangan bagi kedua-dua calon tunggal hanya akan dibuat selepas selesai Persidangan Bahagian-Bahagian pada 2 November depan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here