KUANTAN – Seramai 31 Orang Asli yang tinggal di Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Komuniti Sg Ruil akibat banjir kilat dan tanah runtuh, semalam

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sebanyak 11 kediaman terjejas dalam kejadian banjir kilat dan sebuah lagi rumah rosak akibat tanah runtuh.

”Pasukan keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), PDRM Dan anggota BOMBA telah berjaya mengawal keadaan serta tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan semua penduduk yang dipindahkan berada dalam keadaan selamat.

”Pihak JAKOA turut memberi bantuan bakul makanan kepada 12 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terbabit,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemantauan dilakukan di kawasan setempat selain perbincangan bersama agensi-agensi terlibat termasuk pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dilakukan bagi proses pemindahan sementara penghuni 12 buah rumah lagi yang berdekatan dengan kawasan runtuhan.

Katanya, ia sebagai langkah keselamatan bagi melindungi mangsa yang terjejas.

Sementara itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Cameron Highlands dalam satu kenyataan memaklumkan 31 mangsa dipindahkan  terdiri daripada lima keluarga.

“Mangsa yang terlibat 11 lelaki, 10 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan selebihnya adalah kanak-kanak perempuan,” ujarnya.

Katanya, insiden banjir kilat dan tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan tersebut, menyebabkan aliran sungai meningkat mendadak dan tanah di beberapa kawasan menjadi tidak stabil.

Susulan itu kerja-kerja membersihkan jalan dan kawasan sekitar terjejas sedang giat dilakukan bagi memastikan keadaan kembali selamat untuk penduduk setempat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here