Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: K.A.S.I.H Kanak-Kanak Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 bertempat di Sekolah Kebangsaan Chengal Lempong, Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Sebanyak 577 kes membabitkan pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak di Pahang direkodkan dalam tempoh 18 bulan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sebanyak 338 kes melibatkan golongan kanak-kanak dilaporkan pada tahun lalu.

”Daripada jumlah tersebut sebanyak 43 kes melibatkan kanak-kanak yang diabaikan oleh ibu atau bapa atau penjaga. Sebanyak tiga kes pula melibatkan kanak-kanak yang dicederakan dan dianiaya secara seksual.

”Kanak-kanak yang dicederakan dan dianiaya secara fizikal sebanyak 69 kes,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: K.A.S.I.H Kanak-Kanak Peringkat Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Noraini, Sehingga Jun lalu, sebanyak 239 kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah direkodkan oleh JKMN Pahang.

Tambah beliau, menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,597 kes penderaan telah disiasat di bawah Akta Kanak-kanak 2001 telah dilaporkan antara 2018 sehingga Disember 2023.

Kejadian berkenaan berlaku di rumah pengasuh, tadika, pusat asuhan atau taska berdaftar dan yang tidak berdaftar, ujarnya.

”Sebanyak 318 kes penderaan kanak- kanak yang menyebabkan kematian telah direkodkan bagi tempoh berkenaan.

”Statistik PDRM menunjukkan bahawa 90% kes merupakan suspek yang dikenali oleh mangsa dan hanya10% kes sahaja suspek yang tidak dikenali,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here