Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengesahkan kesemua 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah mendapat perintah mahkamah untuk diberikan perlindungan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan terbaharu itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberi maklumat terkini mengenai jumlah kanak-kanak diselamatkan itu.

“Kesemua 662 kanak-kanak yang telah diselamatkan melalui beberapa operasi yang telah berjalan telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan, itu terkini,” katanya pada sidang media  selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kerajaan Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan kanak-kanak yang di selamatkan dari rumah amal dan sekolah agama bawah GISBH.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga melaksanakan proses pemulihan akidah dan sosial ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam kes tersebut dengan membangunkan modul khas itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.

Polis melancarkan Op Global awal September lalu dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Sementara itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan mengenai isu berkaitan kefatwaan di peringkat negeri sama ada ajaran yang dibawa kumpulan terbabit sebagai sesat atau sebaliknya.

“Tetapi kita boleh rujuk juga dengan kenyataan dan fatwa mufti dan ada beberapa mufti telah mengeluarkan fatwa di mana ajaran tersebut telah disahkan sesat, untuk maklumat lanjut dalam isu ini boleh rujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast