Riza Shahriz Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya terhadap anak tiri Datuk Seri Najib Razak bermula 16 Oktober depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman ini berkaitan dakwaan salah guna dana berjumlah US$250 juta oleh Riza Shahriz Abdul Aziz bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah.

Tiga subsidiari 1MDB itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Turut disaman ialah studio filem Hollywood, Red Granite Pictures Inc dan dan Red Granite Capital Ltd.

Hari ini, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, peguam utama yang mewakili 1MDB, Rabindra S Nathan memaklumkan semua kenyataan saksi akan diserahkan kepada mahkamah esok sebelum bicara bermula minggu depan.

Perkara itu juga tidak mendapat bantahan daripada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mewakili Riza.

Dalam saman sekitar tahun 2021, 1MDB dan tiga subsidiarinya itu mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira US$248 juta daripada mereka yang didakwa disalah guna apabila untuk kepentingan peribadi dan kepentingan rakan sekutu mereka.

Ia termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Plaintif memohon pengisytiharan Riza bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan.

Manakala Riza dan dua syarikat Red Granite yang turut diasaskan bersama Joey McFarland mendakwa telah memperoleh pinjaman berkenaan daripada keluarga Diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat bukan daripada dana 1MDB. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast