JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di Johor berkurangan apabila hanya 502 orang masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa banjir berkenaan melibatkan 134 keluarga dari tiga daerah.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor memberitahu, mangsa banjir paling ramai adalah darii Pontian iaitu 250 orang daripada 70 keluarga di tiga PPS.
“Ini diikuti daerah Kluang menempatkan 235 orang daripada 61 keluarga di dua PPS manakala di Batu Pahat pula 17 orang daripada tiga keluarga di sebuah PPS,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, jumlah terkini itu menunjukkan penurunan mangsa banjir di negeri ini berbanding 601 orang daripada 162 keluarga di lapan PPS pada pukul 12 tengah hari tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan cuaca diramalkan cerah bagi kesemua 10 daerah namun Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong, Batu Pahat berada pada paras amaran.- MalaysiaGazette