KUALA LUMPUR – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dengan kerjasama Yayasan Belia Malaysia (YBM) mengukuhkan komitmennya dalam memperkasa komuniti asnaf dengan melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan CIMB Islamic.
Jelasnya, CIMB Islamic, melalui Zakat Wakalahnya, mengagihkan barang makanan bernilai RM100,000 kepada 400 keluarga asnaf terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Sharif berkata, zakat kekal sebagai satu instrumen kewangan sosial asas dalam usaha meluaskan bantuan terhadap golongan asnaf dengan fokus untuk menambah baik kualiti hidup mereka.
Katanya, dengan mengurangkan bebanan kewangan, membolehkan mereka memperuntukkan pendapatan ke arah keperluan asas dan memperbaiki kehidupan mereka secara menyeluruh.
“Menerusi program ini, matlamat kami adalah bagi memastikan setiap keluarga mempunyai akses makanan berkhasiat di samping meringankan beban mereka sambil memupuk semangat kekitaan dan sokongan terhadap golongan memerlukan.
“Kami komited dalam memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islamik bertanggungjawab dalam menyampaikan impak positif dan bermakna kepada komuniti di bawah seliaan kami.
“Ini dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif yang kami terajui sejak beberapa tahun yang lalu yang merangkumi prinsip perantaraan berasaskan nilai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam program itu, turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama Pengerusi YBM, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim.
Selain itu, turut disertai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jalil, Rozaidi Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Muslim Mustapa serta sukarelawan daripada CIMB.
Ia bagi mengagihkan bakul-bakul makanan yang mengandungi beras, tepung dan minyak masak, termasuk makanan ruji lain kepada penerima manfaat untuk keperluan nutrisi mereka
Sementara itu, Dr Suhaimi berkata, YBM berbesar hati dengan kerjasama CIMB Islamic melalui inisiatif khidmat masyarakat baharu itu yang diyakini boleh membawa kesan positif terhadap kehidupan seharian komuniti asnaf.
“Keluarga asnaf sering berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan keperluan makanan asas. Penyediaan barang makanan keperluan ini, diharap ia dapat menambah baik kehidupan setiap keluarga secara menyeluruh,” ujarnya
CIMB Islamic telah menerajui pelbagai inisiatif untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan golongan asnaf dan komuniti rentan menerusi program-program seperti CIMB Program K.A.M.I., di bawah Program CIMB Islamic Safe Space, misi bantuan banjir dan Harapan Ramadan.
Bank tersebut juga telah menerajui pelbagai program yang memupuk pertumbuhan kelestarian dan pembangunan golongan rentan, antaranya Program Keusahawanan CIMB Islamic – Taylor’s Program iTEKAD Rider Entrepreneur CIMB Islamic, Program iTAAJIR CIMB Islamic – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (“UIAM”), Program Graduan Agropreneur Melon Manis Terengganu dan CIMB MicroBizReady.
Kesemua inisiatif tersebut bertujuan menyalurkan kewangan sosial bagi memperkasa golongan asnaf dan usahawan B40 untuk menambah baik kehidupan dengan menyediakan bimbingan dan latihan agar kemahiran keusahawanan dan daya tahan mereka ditingkatkan sekali gus menaikkan status sosioekonomi golongan tersebut.
Baru-baru ini, CIMB Islamic telah menyumbang mesin penuai padi bernilai RM298,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA), dengan matlamat meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan dan mengurangkan kos pengeluaran serta penyumberan luar, sekali gus menangani isu keselamatan makanan nasional. – MalaysiaGazette