KUALA LUMPUR – Media diminta untuk berhenti daripada mensensasikan berita berkaitan penceraian.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang membuat gesaan itu berkata, membuka aib pasangan dibenci oleh Allah.
Beliau yang juga Pengerusi Mara menambah, perbuatan itu juga merupakan satu perbuatan yang mengundang dosa.
“Cerai ataupun talak walaupun tidak berdosa tapi paling dibenci Allah.
“Namun membuka aib pasangan bukan sahaja dibenci bahkan berdosa besar.
“Cukup-cukuplah media mensensasikan berita perceraian,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Berita penceraian pelakon, Nur Fazura dan Fattah Amin menjadi tumpuan media dan masyarakat.
Perkahwinan Fattah dan Fazura ternokhtah sebaik pelakon itu melafazkan talak satu ketika prosiding kedua sebutan permohonan cerai yang diajukan bekas isterinya.
Bagaimanapun sejurus penceraian berbagai cerita dikongsi bersama media.
Fazura misalnya mendakwa berlaku pengabaian nafkah, tiada persefahaman dan curang di pihah Fattah.
Fazura berkata, sejak sekian lama, dia hilang rasa bahagia dan apa yang berlaku mengganggu emosi dan mentalnya.
Beliau turut mendakwa Fattah turut membawa wanita lain menaiki kenderaan yang dibelinya.
Sementara Fattah menafikan dakwaan Fazura bahawa kereta tersebut dihadiahkan kepadanya sebaliknya dibeli melalui potongan gaji.
Fattah turut mengakui mempunyai rahsia berkaitan bekas isterinya itu yang kekal disimpan sehingga ke hari ini. – MalaysiaGazette