KULAI – Berebut tempat duduk di ruang pelepasan Lapangan Terbang Miri, Sarawak menjadi punca seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki selepas dia sampai Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini kelmarin.
Lelaki tersebut dibelasah sekumpulan lelaki di tepi jalan berhampiran LTAS di sini dan video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut selepas mengesan video berkenaan dalam Facebook pukul 9.15 malam kelmarin.
Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru pukul 8 malam kelmarin sehingga 12.30 tengah malam tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian itu kerana perselisihan faham yang bermula hanya disebabkan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.
“Kita berjaya membuat tangkapan selepas video itu tular dalam Facebook This Is Johor dan juga selepas menerima laporan polis dibuat mangsa selepas kejadian itu.
“Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun mengalami cedera ringan, luka calar dan bengkak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Seng Lee, siasatan mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran LTAS kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin,.
Ketika suspek warga tempatan itu ditahan, polis merampas dua kenderaan iaitu Honda Accord dan Mazda 6 beserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang kayu rotan.
Hasil semakan rekod mendapati empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan seorang lagi suspek berusia 40-an masih lagi bebas.
Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini, katanya.
Dalam pada itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak bertindak di luar batasan undang-undang.
Terdahulu tular video berdurasi 17 saat memaparkan lapan lelaki sedang memukul seorang lelaki lain menggunakan batang dipercayai kayu di tepi jalan.
Mereka menendang mangsa yang berbaju dan berseluar pendek warna hitam itu berkali-kali.
Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai memperlahankan trafik memandangkan beberapa kereta dipercayai dinaiki suspek berhenti di atas jalan. – MalaysiaGazette