Sim Chon Siang

KUANTAN – ”Beri kami masa dalam dua minggu, biar kami siasat dahulu sebelum bagi jawapan yang tepat”.

Itu reaksi Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang mengenai aduan beberapa peniaga Medan Agro, Cameron Highlands yang mendakwa kadar sewa dinaikkan sehingga RM5,000 sebulan.

“Memang saya dapat aduan yang sewa pasar dari RM500 dinaikkan ke RM5,000. Jadi, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita tengah siasat tentang aduan ini dan kita beritahu apa masalahnya selepas siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi kebarangkalian harga jualan naik di Cameron Highlands jika sewa dinaikkan semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) di sini hari ini.

MIT 2024 Pahang dirasmikan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.

Sementara itu, Yu Man berkata, pihaknya melalui agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan harga jualan di lokasi pelancongan di Pahang.

Beliau berharap tindakan segera dapat diambil jika terdapat aduan berkenaan kenaikan harga bagi menjaga sektor pelancongan di negeri itu.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 35 peniaga di Medan Agro mendakwa ditindas dengan kenaikan kadar sewa.

Ia susulan dakwaan daripada Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain ke Cameron Highlands bersama pasukan selepas menerima aduan tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here