Rahmad (kiri) diselamatkan pihak JKM dalam operasi bersepadu di bandar Bati Pahat, pada 2 Oktober lalu

BATU PAHAT – Seorang lelaki bergelandangan yang menjalankan aktiviti mengumpul barang kitar semula rindu untuk bertemu dengan keluarganya selepas lebih dua tahun terputus hubungan.

Rahmad Nordin, 53, yang mengumpul barangan kitar semula untuk kelangsungan hidup berharap dapat bertemu mereka sebelum menutup mata selama-lamanya.

Lelaki itu melahirkan harapan tersebut kepada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat dalam operasi bersepadu membanteras gelandangan di daerah ini pada pada 2 Oktober lalu.

Operasi tersebut disertai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kakitangan Majlis Perbandaran Batu Pahat, Jabatan Imigresen Cawangan Batu Pahat, Hospital Sultanah Nora Ismail di sini dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor Bahru.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat berkata, Rahmad diselamatkan di hadapan Tasik Y, Bandar Batu Pahat tanpa dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun katanya, lelaki berkenaan hanya mampu mengingati beberapa maklumat berkaitan keluarganya yang terputus hubungan.

Katanya, mengikut maklumat awam, lelaki itu dipercayai sudah hidup bergelandangan hampir dua tahun dan ditemukan berpindah lokasi serta menjalankan aktiviti mengumpul barangan kitar semula.

“Menerusi semakan identiti dengan JPN, tiada maklumat berkaitan diri penama ditemui namun dipercayai beliau adalah warga tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG di tubuh badannya.

“Malah lelaki itu juga didapati tidak mengalami gangguan mental.

“Berdasarkan maklumat diberikannya, dia mempunyai seorang abang kandung iaitu Ibrahim Nordin yang tinggal di Kota Tinggi. Lelaki itu menyatakan adik-beradik lain berada di luar negara.

“Buat masa ini lelaki tersebut diletakkan di bawah jagaan sebuah Pusat Jagaan berdaftar di Batu Pahat sementara mengesan waris,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, lelaki berkenaan berkongsi hasratnya untuk bertemu ahli keluarga yang difahamkan berasal dari Parit Raja, di sini.

Pihaknya berharap orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris lelaki itu tampil ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batu Pahat atau menghubungi pegawai kes, Siti Norbaya Hamzah menerusi talian 07-4341377.

“Kami berharap waris lelaki itu segera menghubungi JKM bagi membincangkan berkaitannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast