Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa dipanggil oleh polis berhubung hantaran berkaitan laporan sebuah portal yang memetik laporan Bloomberg.

Menurut Isham, beliau akan hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya petang ini untuk memberi keterangan berhubung saranan beliau supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman media antarabangsa itu.

Katanya, portal Malaysia Now memetik sumber Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tidak menyiasat Farhash Wafa Salvador.

Ia berhubung dakwaan pembelian saham sebuah syarikat terlibat dalam pembangunan sistem imigresen baharu bernilai lebih RM1 bilion.

“Keterangan saya ialah saya telah sarankan PMX untuk saman Bloomberg kerana kenyataan Bloomberg tersebut adalah serius dan membawa implikasi yang besar, jika kenyataan itu tidak benar ia amat memalukan institusi Perdana Menteri Malaysia dan menghakis keyakinan rakyat dan pelabur tentang kesungguhan PMX untuk memerangi rasuah.

“Kenyataan Bloomberg tersebut boleh menggambarkan bahawa usaha PMX untuk memerangi rasuah hanyalah retorik semata-mata dan juga membuka gambaran bahawa beliau cakap tidak serupa bikin. Jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar ia adalah fitnah yang berat,” katanya dalam kenyataan.

Isham mendakwa selain Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara juga boleh bertindak terhadap Bloomberg.

Katanya, reputasi Kerajaan telah tercemar akibat laporan yang dikeluarkan oleh media luar negara itu.

“Jika tiada tindakan diambil ke atas Bloomberg, mungkin orang akan kata Perdana Menteri dan Peguam Negara atau kerajaan hanya berani saman, dakwa atau rampas telefon rakyat biasa dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak ada kuasa apabila mereka mengkritik kerajaan.

“Namun syarikat besar seperti Bloomberg yang mampu bayar yuran guaman dan mampu bayar saman beratus juta kerajaan tidak berani buli atau tidak berani ambil tindakan pula,” kata Isham.

Malaysia Now sebelum ini melaporkan, Bloomberg memetik tiga sumber yang disifatkan arif mengenai perkara itu.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here