Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang melakukan istiadat Majlis Siraman ke atas Tengku Muhammad Iskandar yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Foto FB Kesultanan Pahang.

KUALA LUMPUR – Istiadat perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, putera kedua Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung pada 24, 25 dan 27 Oktober ini.

Perkahwinan itu akan berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Perkhabaran gembira tersebut dikongsikan menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang.

Terdahulu, Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat ke Majlis Siraman sempena bakal berlangsung Istiadat Perkahwinan Diraja di Taman Duta di sini, kelmarin.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, Raja Puteri Hajjah Suraiya Afzan Mohammed Moiz, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here