JOHOR BAHRU – Guna kontena sejuk beku untuk menyeludup dadah dari luar negara sebelum transit di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di sini menjadi taktik sindiket penyeludupan.
Sindiket berkenaan mengikrar bahan tersebut sebagai bahan makanan dan turut membawanya dalam kontena bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Bagaimanapun taktik tersebut terbongkar selepas pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pemeriksaan sebuah kontena di PTP pada 1 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohami berkata, pemerikasaan pada pukul 11.15 pagi menemukan 62 bungkusan plastik berbentuk segi empat.
“Bungkusan tersebut mengandungi serbuk mampat berwarna putih disyaki dadah jenis kokain seberat 60 kilogram dan bernilai RM12.05 juta.
“Dadah tersebut disembunyikan di ruang pendingin hawa. Ini merupakan rampasan terbesar kastam setakat ini tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.
Siasatan mendapati kontena tersebut datang dari pelabuhan India dan transit di PTP sebelum dijadualkan berlepas ke Miami, Amerika Syarikat.
Jelasnya, kontena tersebut sudah tiga hari berada di PTP dan pihaknya sebelum itu melakukan risikan selama sebulan sebelum melakukan serbuan.
Aminul Izmeer berkata, sindiket mengikrar barang dibawa itu sebagai udang sejuk beku berjumlah 19 tan bernilai RM735,000.
Setakat ini, ujarnya, tiada tangkapan dibuat dan pihak JKDM Johor sedang bekerjasama dengan agensi pengkuat kuasa antarabangsa bagi siasatan lanjut.
Beliau berkata, rampasan tersebut merupakan kali kedua dengan modis operandi yang sama.
“Kes sebelum ini adalah pada Mei lalu yang juga rampasan kokain bernilai RM10.3 juta disorok dalam pendingin udara dalam kontena di PTP dengan mengikrarkan barang dibawa adalah bawang.
“Kali ini juga sama modus operandinya. Namun kita percaya aktiviti ini dilakukan sindiket penyeludupan dadah yang berbeza,” katanya.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette