Yu Man (dua dari kiri) ketika sidang media sempena Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang berlansung pada 8 hingga 10 Oktober di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Penganjuran Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang bermula hari ini menyasarkan sekurang-kurang penglibatan dan kehadiran seramai 10,000 penggiat industri.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, penganjuran eksposisi pelancongan bertaraf antarabangsa berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan itu bagi mempromosi sektor pelancongan di negeri itu.

“Acara MIT Pahang 2024 julung kali diadakan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis ini. Kita sasarkan lebih 10,000 kehadiran penggiat industri termasuk dalam kalangan pempamer, peserta seminar dan orang ramai,” katanya selepas Majlis Perasmian MIT Pahang 2024 di sini hari ini.

Yu Man berkata, seramai 200 penggiat industri pelancongan dari 11 negara mengambil bahagian sebagai pempamer pada acara tersebut.

Selain Malaysia, pempamer terlibat dalam MIT Pahang 2024 melibatkan dari Thailand, Singapura, Indonesia, China, New Zealand, Korea, Rusia, Kenya dan Taiwan.

Antara pempamer mengambil bahagian ialah Resort World Genting, Kumpulan ABLE TOURISM, Hospitality 360 serta beberapa agensi pelancongan dari luar negara.

Manakala seramai 90 premiums buyers dari 16 negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, China, India, Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertai eksposisi pelancongan bertaraf antarabangsa ini.

Jelasnya inisiatif menjemput premium buyers yang terdiri syarikat pelancongan berskala besar dari luar negara itu sebagai rakan strategik yang berpotensi membawa masuk pelancong dari negara berkenaan ke negara ini.

“Biasanya pemain industri dan agensi pelancongan akan mengambil bahagian dalam ekspo pelancongan popular di luar negara untuk mempromosikan produk pelancongan masing-masing.

“Kali ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memposisikan Malaysia khususnya Pahang dan Kuantan sebagai lokasi pertemuan pemain industri pelancongan melalui MIT Pahang 2024 ini,” ujarnya.

Beliau berharap kejayaan penganjuran MIT Pahang 2024 dapat dijadikan sebagai acara tahunan dalam takwim pelancongan sebagai mempromosikan pusat pelancongan di negeri ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here