Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk meneruskan projek pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat permohonan agar kemudahan tersebut perlu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.

”Namun begitu kerajaan negeri melahirkan rasa terkilan apabila salah satu komponen penting dalam projek ini iaitu kawasan R&R tidak dilaksanakan walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infra sahaja yang dilaksanakan.

”Meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal, kerajaan negeri berharap pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) sepanjang 299.4 kilometer yang melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.

Jelasnya pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 ini, memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat (Bentong, Raub dan Lipis) menuju ke Negeri Kelantan.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pentingnya Pakej 6 iaitu laluan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) – Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

Sehingga kini empat laluan di sepanjang LTU telah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, laluan Kampung Orang Asli Sungai Chandan – Kampung Asap, laluan Raub Bypass dan laluan Mentara – Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus setakat ini.

”Semoga projek pembinaan LTU dapat disiapkan mengikut jadual dan saya sekali lagi berharap agar pembinaan R&R ini dapat diteruskan juga untuk keselesaan pengguna,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here