Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang berusaha menyelesaikan isu air di tiga kawasan perumahan di Seberang Perai Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, tiga kawasan iaitu Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri dan Taman Widuri masih mengalami gangguan bekalan air berikutan ia terletak di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL).

Jelas beliau, punca utama kelewatan pemulihan bekalan air di tiga kawasan itu juga disebabkan penggunaan air sangat tinggi di Seberang Perai Tengah dan Selatan sejak Ahad lalu.

“Majoriti tangki air dan takungan di kawasan yang terjejas akibat SWSI (gangguan bekalan air berjadual) baru-baru ini telah kering.

“Malah, dalam tempoh 48 jam yang lalu, majoriti pengguna air di kawasan terjejas telah mengambil sejumlah besar air untuk kegunaan serta penyimpanan semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, kerja-kerja ‘de-airing’ saluran paip di lokasi yang menjejaskan bekalan air ke tiga lokasi itu sedang dijalankan.

“Kita juga memeriksa dan menyemak semula kemungkinan punca isu bekalan air yang lain serta menghasilkan dan mengepam air sebanyak mungkin daripada LRA Bukit Panchor di SPS untuk melengkapkan bekalan air terawat di daerah ini.

“Sekali lagi, kami memohon kesabaran dan kefahaman daripada semua pengguna yang terjejas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ketiadaan bekalan air di Taman Widuri di Mukim 5, Sungai Bakap, sejak dua minggu lalu menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Ia susulan insiden kebocoran paip berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here