MUAR – Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan dengan menyelinap masuk ke dalam rumah sebelum merogol seorang remaja perempuan, sejak Mei lalu.
Tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia yang berusia 15 tahun didakwa merogol remaja perempuan sebaya dengannya di sebuah rumah di daerah ini pukul 9 pagi, pada 25 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan perkara itu terhadap mangsa sama pada 8.30 pagi sejak Mei dan Jun tahun ini, dengan ketiga-tiga kejadian itu juga berlaku di tempat sama.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan dibuat bapa mangsa, tertuduh dilaporkan memasuki rumah mangsa secara bersembunyi sebelum merogolnya.
Bagaimanapun pada hari kejadian perbuatannya terbongkar apabila terserempak dengan bapa mangsa.
Bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 25 September manakala tertuduh ditahan pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Mohd Rofaie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 November ini untuk sebutan kes, serahan dokumen dan juga lantikan peguam tertuduh.
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan namun ahli keluarganya gagal membayar sebelum dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.- MalaysiaGazette
akibat terdedah dengan youtube yg tidak dikawal