KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merayu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menimbang balik cadangan untuk menukar semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Deris berkata, pihaknya ingin menyatakan beberapa faktor termasuk titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semasa mengumumkan cuti mingguan hari Jumaat pada 1 Januari 2014.
Pada masa itu, baginda bertitah selepas solat Jumaat, ramai yang tergesa-gesa untuk pulang ke pejabat sehingga ada yang meninggalkan masjid tanpa menunggu imam selesai membaca doa.
“Perkasa mewakili rakyat negeri Johor merayu kepada Tunku Mahkota Ismail supaya menimbangkan semula untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja.
“Antara sebab utama Tuanku Sultan Ibrahim bertitah hari Jumaat sebagai hari cuti minggu ialah untuk memudahkan dan menggalakkan kaum bapa membawa anak anak untuk solat Jumaat berjemaah di masjid yang berada di sekitar Johor dan memberi masa yang secukupnya kepada jemaah yang mengerjakan solat Jumaat tanpa perlu bersikap terburu-buru dengan rehat dan waktu solat yang singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Irwan Fahmi berkata, Perkasa merasakan pengurusan pihak negeri Johor akan lebih mudah kerana tempoh waktu solat Jumaat adalah singkat jika cuti mingguan dikembalikan pada hari Sabtu dan Ahad.
Katanya, Perkasa menyuarakan kebimbangan rakyat Johor yang sudah selesa dengan cuti hari Jumaat dan mungkin akan mengalami kesulitan dalam menguruskan diri dan keluarga jika cuti hari Jumaat ditukar kepada Sabtu dan Ahad.
“Perkasa juga berharap pihak Istana Johor mendapatkan pandangan dari pihak seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Pejabat Mufti Negeri serta Pejabat Menteri Besar mengenai keperluan cadangan ini.
“Justeru, Perkasa bersama sama dengan NGO-NGO Melayu Islam di Johor merayu lagi sekali agar pertimbangan dari pihak Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akan mendapat perhatian yang sewajarnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Cuti mingguan Johor ditukar semula kepada Sabtu, Ahad pada Januari 2025
Jika nak jadikan jumaat hari kerja sepatutnya 1/2 hari sahaja balik jam 12.30tgh & boleh terus ke masjid dan tidak terkejar untuk masuk balik kerja
Gantikan Hari Ahad-Khamis balik jam 5.00