Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Pertukaran cuti hujung minggu di Johor yang akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad mulai Januari tahun depan akan melibatkan penyelarasan di peringkat pusat dan negeri.

Bagaimanapun, ia akan diuruskan supaya tidak berlaku sebarang isu daripada segi perkhidmatan terutama oleh agensi-agensi Persekutuan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Titah pemangku Sultan Johor di peringkat Jemaah Menteri hari ini tidak dibincangkan. Tapi, semestinya dari segi penyelarasan di peringkat pusat dan juga peringkat negeri itu daripada segi pentadbiran memang akan diuruskan supaya tidak berlaku apa-apa isu daripada segi memberi perkhidmatan terutama oleh agensi-agensi Persekutuan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara tersebut mendapat perkenan dan restu Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar. – MalaysiaGazette