Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) diarah meneliti isu berkaitan beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Malpemakanan boleh didefinisikan sebagai keadaan zat pemakanan yang kurang baik.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya, ia disuarakan oleh Perdana Menteri sebelum Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Dalam mesyuarat (Jemaah Menteri), ada disentuh mengenai masalah bebann berganda malpemakanan kanak-kanak yang mana isu ini dibincangkan oleh KKM, KPM dan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-kanak.

“Hari ini Jemaah Menteri ada menerima laporan terkini mengenai usaha-usaha dan pelan strategik tapi ada beberapa perkara diminta oleh Perdana Menteri untuk diteliti sebelum pengumuman penuh mengenai pelan strategik kebangsaan (dibuat),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di sini hari ini.

Ditanya mengenai perkara yang diminta Perdana Menteri untuk diteliti berhubung isu terbabit, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, ia membabitkan beberapa ikhtiar.

Jelasnya, perkara itu bukan sahaja membabitkan rancangan pemakanan termasuk sesi persekolahan untuk diteliti dengan lebih menyeluruh.

“Jadi, perkara ini sangat penting yang amat dekat dengan Perdana Menteri dan kita harap menjelang sidang Parlimen kali ini, kita akan dapat beberapa perkembangan positif khusus berkait menguruskan isu masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Ini bukan sekadar makanan sarapan sebagai contoh tetapi kita juga ada membincangkan beberapa perkara juga dan (semua) ini dalam perkiraan KKM dan KPM,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast