Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi.

SHAH ALAM – Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad memberi peringatan kepada Pas supaya jangan sesuka hati mengeluarkan kenyataan.

Katanya, walaupun mungkin mempunyai pandangan politik serta ideologi berbeza namun apa jua kebaikan untuk rakyat sepatutnya tidak dikritik tanpa fakta berasas.

Saifuddin berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar tentang banjir dengan mengaitkanya dengan pelaburan di Selangor ternyata tidak cerdik dan ‘bodoh sombong’.

Menurutnya, Selangor telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM12.4 billion pada suku pertama tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 66.8 peratus berbanding suku pertama tahun 2023 dengan pelaburan RM7.44 billion.

“Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) nilai pelaburan terbabit menawarkan 8,377 peluang kerja meliputi 363 projek yang sebahagiannya diisi oleh mereka yang berhijrah dari negeri tadbiran Pas.

“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

“Jadi dakwaan, kenyataan tidak cerdik seperti kurangnya minat pelabur terhadap Selangor juga adalah tidak tepat dan bersifat naif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Sukri Omar
Mohamed Sukri Omar

Sebelum ini, Sukri mengecam kerajaan negeri kerana didakwa masih gagal menguruskan masalah banjir berulang kali melanda walaupun sudah mendapat peruntukan yang tinggi.

Pemimpin Pas itu mendakwa penduduk Selangor memang sudah jemu melihat kegagalan kerajaan negeri itu menguruskan krisis tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sentiasa memberikan komitmen dengan memastikan kesiap-siagaan jentera bantuan kerajaan berfungsi dalam prestasi terbaik setiap kali musim peralihan Monsun Timur Laut.

“Andai ambil logik Ustaz Sukri Omar, maka kita sudah tahu puncanya pembangunan di Kelantan menjadi lembab selepas ditadbir oleh Pas selama 30 tahun.

“Lagi pun bukan Menteri Besar daripada Pakatan Harapan dan Perpaduan yang dikesan berada di New Zealand atau Jepun ketika musibah banjir melanda negeri,” sindirnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here