Exco Selangor, Mohammad Fahmi Ngah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menubuhkan sebuah pasukan khas (task force) untuk meneliti program pemulihan khusus bagi kanak-kanak yang diselamatkan di rumah-rumah amal Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Selangor baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pasukan khas itu ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2 Oktober lalu.

Jelasnya, pasukan khas itu akan dipengerusikannya sendiri bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.

Pada peringkat awal, pasukan khas itu akan dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Selain itu, tambah beliau, pasukan khas tersebut juga akan dianggotai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan MBI dan Yayasan Selgate.

“Pasukan khas ini akan memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan bukan sahaja berkenaan akidah tetapi turut melibatkan isu kebajikan, kesihatan dan perkembangan mental serta fizikal.

“Ia bagi memastikan kanak-kanak terlibat dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat walaupun selepas tempoh pemulihan rasmi selama enam bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohammad Fahmi, mesyuarat pertama pasukan khas itu akan diadakan pada 11 Oktober ini.

Sebelum ini, media melaporkan, polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dalam satu Op Global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kanak-kanak yang diselamatkan itu masing-masing seramai 201 lelaki dan perempuan.

Jelas beliau, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here