Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Penyelarasan cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad melegakan banyak pihak yang sebelum ini terpaksa berdepan cuti yang tidak selari dengan negeri lain dan di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pertukaran tersebut juga akan menjadikan cuti bagi pihak swasta dan kerajaan selari di negeri itu.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, pihaknya turut melihat langkah tersebut dapat mengatasi masalah ketidakhadiran murid di sekolah pada Ahad.

“Tindakan ini mampu menamatkan isu sesi persekolahan di negeri ini berkaitan kehadiran murid pada hari Ahad yang difahamkan terdapat statistik kurang memuaskanpada hari berkenaan.

“Faktor itu didorong akibat cuti yang tidak selari antara ibu, bapa dan murid yang membuatkan terdapatnya ketidak hadiran ini berlaku dalam kalangan murid,” katanya dalam kenyataan.

Aminolhuda berkata, penyelarasan tersebut juga akan memberi impak positif terhadap ekonomi.

“Penyelarasan cuti Sabtu dan Ahad selari dengan Kerajaan Persekutuan dan juga negara lain termasuk Singapura akan memberikan impak yang positif dalam pembangunan ekonomi Johor,” katanya.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di negeri ini akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara tersebut mendapat perkenan dan restu Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju dengan penyelarasan tersebut kerana berpendapat cuti hujung minggu Johor mempunyai makna dalam konteks sejarah dan budaya di negeri itu.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast