GENAP setahun selepas serangan berdarah ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak berdekad-dekad lamanya memasuki fasa baharu yang tidak pernah dijangka dunia.
Serangan setahun lalu itu seolah-olah menghadirkan keajaiban yang ditunggu-tunggu kepada perjuangan pembebasan tanah air oleh rakyat Palestin meskipun harga yang perlu dibayar adalah nyawa leih 40,000 penduduknya.
Buat pertama kali, Israel dilihat tertekan dalam konflik itu apabila bukan hanya gagal menjarah bumi Gaza meskipun selepas setahun serangan tanpa henti malah terpaksa menangkis serangan pihak lain khususnya dari Iran, Syria dan Lubnan.
Israel juga tersilap strategi apabila cuba menduga kekuatan ketenteraan Iran apabila menerima hujanan peluru berpandu dari negara itu yang gagal ditangkis sistem pertahanan negara berkenaan.
Lebih malang, Israel juga gagal menarik campur tangan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk memberi tekanan kepada Iran apabila negara sekutu mereka itu dilihat mengambil pendekatan berhati-hati.
Bagi pemerhati politik Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, tindakan genosid Israel ke atas orang awam Palestin kini boleh diibaratkan buku bertemu ruas.
Menjelaskan lebih lanjut, Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berkata, walaupun konflik Palestin-Israel itu kini sudah merebak ke rantau Asia Barat namun yang sedang menerima padah ketika ini adalah Israel.
“Tujuan Israel melakukan provokasi ke atas Lubnan dan Iran ialah untuk mengumpan Iran khususnya untuk melakukan tindak balas.
“Ini supaya AS terheret sama dalam konflik yang meluas ke peringkat serantau, namun negara itu tidak akan terpancing meskipun sudah sedia memiliki angkatan laut di Teluk Parsi dan pengkalan tentera di Saudi dan Kuwait.
“Malangnya, AS dilihat menjauh disebabkan beberapa faktor antaranya kerana pilihan raya Presiden negara itu akan berlangsung dalam tempoh kurang sebulan lagi.
“Lebih utama, aset tentera AS juga sudah susut (depleted) dan dalam ketidakseimbangan persenjataan itu, AS khuatir akan mendedahkan angkatan laut dan pengkalan tentera daratnya kepada kemusnahan oleh serangan Iran,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, Hafidzi berkata, selepas setahun serangan berdarah di Gaza juga, masyarakat antarabangsa memberi tekanan yang tidak pernah dilihat dalam isu Palestin selama ini.
Sebagai contoh, Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-75 menerima resolusi supaya Palestin diberi hak untuk mengemukakan resolusi ke persidangan PBB meskipun AS menghalang resolusi untuk melantik Palestin sebagai negara anggota penuh PBB.
Selain itu, kata beliau, PBB juga telah menerima cadangan badan penasihat ICJ yang mengusulkan supaya pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dianggap sebagai pendudukan haram dan Israel mesti keluar dari wilayah yang diduduki secara haram itu dalam tempoh setahun.
Usul itu, jelas Hafizi, diangkat dalam Persidangan Agung PBB dengan 124 negara menyokong dan 14 menentang.
Dalam masa sama, tiga negara Eropah iaitu Norway, Sepanyol dan Ireland bersetuju serta bersedia mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.
“Masalah pokoknya ialah AS sentiasa mendokong kejahatan Israel dan akur dengan semua tindakan biadab serta perlanggaran undang undang oleh Israel.
“Badan dunia dan badan undang undang antarabangsa juga lemah dan mandul apabila berhadapan dengan AS yang bertindak sewenang wenangnya.
“Ini juga seperti ditegaskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Muhammad Hasan bahawa struktur PBB sudah lapuk dan AS tidak patut diberikan hak mengekalkan kuasa veto untuk mewajarkan jenayah kemanusiaan yg dilakukan oleh Israel,” katanya.
Apa pun, bagi Hafidzi, dunia masih mempunyai harapan sekiranya pemimpin antarabangsa lebih berani mencabar kuasa-kuasa angkuh dan menyatukan semua suara yang lebih berkesan untuk memaksa AS supaya akur kepada undang undang seterusnya menjamin hak asasi rakyat Palestin. – MalaysiaGazette