Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada pemberita selepas sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir sebagai dangkal kerana mendakwa seluruh kepimpinan parti itu menarik sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Suhaimi dan Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak dapat menerima hakikat bahawa UMNO Sabah kini terbahagi kepada dua kumpulan di mana salah satunya menyokong dan menganggotai Kabinet Hajiji.

“Kumpulan kedua dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah yang disifatkan sebagai anti Bung dan penyatuan UMNO dan Warisan masih lagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Walaupun UMNO Sabah membuat keputusan menarik sokongan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun ianya bukannya datang daripada majoriti pimpinan dan ahli-ahli akar umbi parti Melayu itu.

“Malahan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga belum membuat sebarang keputusan dan pendirian mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Suhaimi berkata, tindakan UMNO Sabah menarik sokongan daripada Hajiji dibuat secara konsensus parti dan bukannya keputusan Bung secara bersendirian.

Suhaimi mendakwa, Hajiji cuba mengelirukan apabila mengatakan masih ada wakil UMNO menganggotai Kerajaan Negeri Sabah, sekali gus memberi persepsi negatif dalam kalangan akar umbi parti itu kononnya tindakan itu dibuat secara individu.

Zulkarnain juga melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Suhaimi itu yang cuba menafikan wakil UMNO bertaraf menteri dan timbalan menteri yang masih menyokong Hajiji.

“Tidak perlulah saya dedahkan siapa pimpinan UMNO Sabah ketika ini yang masih menyokong Hajiji kerana Suhaimi tentu dan kenal siapa pemimpin tersebut.

“Agak lucu dan menghairankan, Suhaimi sepatutnya faham kenyataan Hajiji hanyalah bagi menjelaskan senario terkini bahawa Kerajaan Negeri Sabah atau Kerajaan GRS dan PH juga turut dibarisi oleh wakil rakyat daripada UMNO,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan kekeliruan itu timbul kerana Suhaimi dan Bung masih tidak boleh menerima kenyataan rancangan kudeta bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Januari 2023 tidak menjadi kenyataan.

“Ia mungkin memberi kesan mendalam terhadap Suhaimi termasuk Bung, oleh sebab itu dendam kesumat terhadap Hajiji masih membara dalam hati mereka.

“Nasihat saya kepada Suhaimi agar pergi berjumpa dengan pakar psikiatri untuk mendapatkan khidmat nasihat dan menghampirkan diri kepada Tuhan Yang Masa Esa,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here