Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung terhadap bekas peguam, N Pathmanabhan dan pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 33, atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di sebuah ladang di Banting, Selangor pada 2010 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Istana Kehakiman, Mahkamah Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 8 OKTOBER 2024.

PUTRAJAYA – “Anak guam saya masih muda ketika melakukan pembunuhan itu. Dia hanya berumur 19 tahun ketika itu. Kini dia sudah berubah,  banyak bermuhasabah diri dan mahu mulakan kehidupan yang baharu”.

Itu antara hujah dikemukakan oleh peguam mewakili salah seorang tertuduh, pekerja ladang, T Thilaiyalagan yang terlibat dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi 14 tahun lepas.

Thilaiyalagan ketika ini berdepan dengan hukuman gantung sampai mati setelah melalui pelbagai proses rayuan berhubung sabitkannya sebelum proses semakan rayuan bagi hukuman tersebut pada prosiding hari ini.

Menurut peguam Thilaiyalagan, Amer Hamzah Arshad, anak guamnya sudah berubah dan berharap mahkamah dapat menggunakan budi bicara untuk memberikannya peluang kedua dalam hidup.

“Untuk makluman Yang Arif sekelian, teman wanita anak guam saya sejak sekolah menengah masih lagi menunggu kepulangannya supaya ada harapan untuk mereka berdua berkahwin pada satu hari nanti.

“Teman wanitanya menunggu Thilaiyalagan dengan harapan tinggi apatah lagi dia sudah berubah kini selain menyesal dengan perbuatannya satu ketika dahulu.

“Anak guam saya hanya berusia 19 tahun ketika kesalahan itu dilakukan olehnya, dia mempunyai masa depan yang baik mahu sambung belajar selain berkahwin dan memulakan kehidupan berkeluarga, dia perlu mendapat peluang kedua,” katanya pada prosiding semakan hukuman gantung di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Tiga panel hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Maimun Tuan Mat bersama-sama Datuk Nordin Nassan dan Datuk Abu Bakar Jais prosiding hari ini.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar membantah permohonan itu sambil mengingatkan mahkamah betapa kejamnya perbuatan perayu terhadap empat mangsa itu tanpa sebarang belas kasihan.

“Yang Arif, semua mangsa telah diperlakukan dengan begitu kejam, tanpa perikemanusian langsung. Terlalu banyak keganasan dalam kes ini. Jika kes ini tidak kejam, bagaimana adanya tompokan darah mangsa di dinding rumah ladang itu? Sehingga ke tahap itu kejam insiden itu.

“Kita langsung tidak boleh terima kekejaman seumpama ini. Cara pembunuhan sungguh kejam, nyawa manusia diambil dengan begitu ganas dan kejam.

“Ada saksi pendakwaan yang mendengar bagaimana bunyi jeritan manusia. Bayangkan sejenak apakah jenis mimpi ngeri dan ketakutan dilalui mangsa pada ketika itu. Sungguh kejam sekali. Pembunuhan seperti ini langsung tidak boleh ditolak ansur hukumannya,” tegasnya.

Manakala peguam mewakili N Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon berhujah adanya dakwaan tiada bukti jelas sama ada mangsa mati kerana dipukul atau dibakar.

Kata beliau, pendakwaan sebenarnya gagal untuk membuktikan pembunuhan ini kejam yang melibatkan kekejaman rarest of the rare.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata, panel sebulat suara menolak permohonan dan hukuman mati terhadap mereka dikekalkan.

Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dibunuh dengan kejam bersama-sama tiga rakan yang lain di Morib, Selangor pada September 2010. Mayat dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hukuman gantung sampai mati pembunuh Sosilawati kekal

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here