Timbalan perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Rakan NADMA “Malaysia Madani, Siaga Bencana” di DoubleTree Hilton Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 8 OKTOBER 2024.

PUTRAJAYA – “Kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed atau Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh adalah kenyataan peribadi mereka”, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, tiada keperluan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk meminta maaf, sebaliknya perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Ujarnya, isu berkenaan tidak berbangkit dan meminta supaya pemimpin UMNO tidak menimbulkan provokasi berhubung perkara itu.

“Selagi presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, maka kenyataan-kenyataan (dikeluarkan mereka) adalah berbentuk peribadi.

“Tidak perlu minta maaf, jangan usik rakan komponen dalam parti, harus menghormati antara satu sama lain, yang penting kita mesti mengekalkan keadaan situasi Kerajaan Perpaduan sekarang ini selain jangan timbulkan sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Rejuvensasi Rakan NADMA 2020 semasa Konvensyen Rakan NADMA 2024 di sini hari ini.

Sebelumi ini, Jazlan mendesak Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada UMNO atas serangan selama berdekad terhadap parti itu.

Jazlan berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September lalu menunjukkan tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan kerajaan perpaduan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.

Sementara itu, Dr Akmal pula bertegas untuk tidak menarik semula kenyataan dibuat beliau yang menggesa supaya DAP memohon maaf kepada parti itu susulan segala tohmahan dilemparkan sebelum ini.

Biarpun dianggap ‘langau’ dan biadap sekalipun, beliau menyifatkan apa yang disuarakanya itu adalah suara yang hadir daripada keresahan akar umbi.

Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pandangan antara pemimpin parti komponen mesti diketepikan, termasuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU), pada masa akan datang.

“Tadi sebelum dan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri selain bersama presiden, pengerusi dan setiausaha parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan ni.

“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk jalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa saja termasuk kemungkinan PRK atau PRU,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here