PONTIAN – “Penat membersihkan rumah ketika banjir tahun lalu masih belum hilang, kali ini kami diuji banjir lagi”.
Itu kata mangsa banjir, Mohd Sani Abd Rahim, 36, dari Kampung Parit Yassin Darat di sini hari ini.
Dia mendakwa, hujan lebat sejak tengah malam Sabtu menyebabkan air Sungai Pinggan melimpah dan memasuki tujuh rumah di kampung berkenaan.
Mangsa banjir termasuk keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Markom, Benut.
Dia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan berkata, sudah enam kali banjir berlaku dalam masa beberapa tahun ini.
“Kami sudah bersiap siap apabila banjir pada kali ini memandangkan hujan sejak awal pagi Sabtu, saya dan keluarga bersiap sedia mengemas barang di rumah.
“Kemudian meletakkannya di tempat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan baju dan buku sekolah dua orang anak berusia lima dan 12 tahun sudah diletakkan di tempat yang tinggi,” katanya.
Dia juga memberitahu, bapanya, Abd Rahim Serdan, 71, yang lumpuh separuh badan sejak 10 tahun lalu akibat kemalangan dibawa menggunakan ambulan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Markom Ahad lalu.
Mohd Sani berkata, selepas dua hari berlindung di PPS, dia kembali semula ke rumahnya untuk melihat keadaan rumah selepas keadaan bertambah baik.
“Pagi ini, saya balik rumah dan dapati air banjir masih lagi mengenangi kawasan rumah saya. Belum ada tanda-tanda mahu surut kerana berlaku air pasang pada masa kini.
“Limpahan air dari Sungai Pinggan dan lebihan air dari Simpang Renggam menyebabkan kira-kira tujuh rumah penduduk digenangi air,” katanya.
Tambah Mohd Sani, Kampung Parit Yassin Darat merupakan kawasan kerap berlaku banjir di Mukim Benut setiap tahun.
Katanya, banjir ‘termenung’ itu mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk surut.
“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah banjir kilat dengan menyelenggara sistem perparitan di kampung dengan lebih baik,” katanya.
Pontian merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir selain Kluang dan Batu Pahat dan seramai 601 mangsa banjir direkodkan di Johor setakat pukul 4 petang ini.- MalaysiaGazette