Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mengangkat sumpah sebagai ahli Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat pimpinan parti itu.

KUANTAN – Pelantikan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr. Ramli Mohd Nor sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO membuktikan parti itu sentiasa menghargai peranan masyarakat orang Asli.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelantikan itu membawa isyarat bahawa UMNO  terus mengangkat suara masyarakat etnik pribumi itu dalam arus pembangunan negara.

“Saya selaku Naib Presiden UMNO dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang serta Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, turut berasa bangga atas pelantikan beliau untuk bersama dengan kepimpinan UMNO Malaysia.

“Syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang telah mengangkat sumpah pelantikan sebagai Ahli MKT UMNO Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menteri Besar Pahang itu berharap masyarakat Orang Asli dapat bersama-sama dengan UMNO dalam memastikan masa depan mereka yang lebih baik sama seperti rakyat Malaysia lain yang hidup dalam kemakmuran dan kesejahteraan.

Ramli menjadi orang Asli pertama dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO pada mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi, semalam. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan :

Ahli Parlimen Cameron Highlands dilantik ahli MKT UMNO, pertama dalam sejarah – Asyraf

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here