Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Tindakan tidak senonoh ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa terlibat dengan jenayah seksual dan penganiayaan terhadap kanak-kanak bukan berpunca daripada kepercayaan tetapi daripada kepatuhan mutlak kepada pemimpin mereka.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa, kebanyakan mereka menyedari perbuatan liwat itu salah tetapi disebabkan sikap patuh kepada pemimpin, mereka tidak membantah atau mempertikaikannya.

“Ada bekas ahli yang mendedahkan kekejaman yang dialami sepanjang penglibatan mereka dalam kultus itu namun apabila disampaikan kepada ahli keluarga, ibu mereka hanya akan berkata ‘jangan’.

“Jika pemimpin tidak menyatakan sesuatu itu salah walaupun kita merasakannya sebagai kesalahan, kita tidak boleh menilainya sebagai perkara yang salah,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik, malam tadi.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Maza turut menjelaskan, kepercayaan akidah adalah sesuatu yang tersembunyi dalam diri individu dan hanya diketahui apabila ia dinyatakan secara terbuka.

“Namun dalam kes GISBH ini, ia diterjemahkan bukan sahaja dalam bentuk tindakan, tetapi imej perniagaan yang ditonjolkan mengaburi identiti sebenar mereka sehingga masyarakat membiarkan kumpulan tersebut membentuk komuniti.

“Kepercayaan mereka melibatkan tindakan yang dianggap mempunyai keberkatan seperti meminum ‘air berkat’ dari janggut, air basuhan kaki, atau tisu kerana mempercayai guru mereka mempunyai keberkatan khusus sudah jelas adalah satu syirik dan khurafat besar,” katanya.

Bahkan prinsip perniagaan yang dibawa oleh GISBH juga jelas menyimpang daripada prinsip ekonomi Islam.

“Di mana aspek ekonomi Islamnya jika pekerja dijadikan seperti hamba kerana bekerja tanpa gaji, menggunakan buruh kanak-kanak dan mempermainkan soal kebersihan dengan air berkat?” soal beliau.

Beliau turut menekankan menekankan ramai orang Islam tidak dapat membezakan antara sikap menghormati dan sikap fanatik sehingga ada golongan yang menjadikan agama sebagai alat.

“Agama digunakan sebagai candu sedangkan tujuan agama adalah untuk membangunkan manusia, membawa mereka kepada tuhan dan memuliakan tuhan serta membenarkan rasulnya.

“Tetapi apabila agama tidak lagi bertujuan sedemikian dan lebih kepada membesarkan seseorang hingga mempercayai hal-hal yang tidak masuk akal,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here