Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy (kiri) menyerahkan sumbangan elaun kepada barisan pemimpin masyarakat Orang Asli di Program 'Retreat' Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

KUANTAN – Barisan Ahli Parlimen Pahang diminta membawa isu mengenai pembinaan kemudahan hentian rehat dan rawat (RnR) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) ke sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Gesaan itu dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana perkara itu penting untuk dibahaskan bagi memastikan pembinaan komponen penting RnR terbabit dilaksanakan demi keselesaan pengguna.

“Setakat ini belum ada maklum balas daripada Kerajaan Pusat tapi saya sudah minta rakan-rakan Ahli Parlimen Pahang untuk membangkitkan perkara ini.

“Saya harap Timbalan Speaker Dewan Rakyat juga memberi ruang yang secukupnya kepada mereka untuk berbahas perkara ini,” katanya  selepas merasmikan Program ‘Retreat’ Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy (kiri) menyerahkan sumbangan kepada pelajar Orang Asli di Program ‘Retreat’ Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Turut hadir, barisan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor serta barisan Exco negeri.

Dalam majlis itu, sebanyak 37 geran kebun seluas 2.43 hektar diberikan kepada penerima.

“Ini jelas menunjukkan kita di Pahang tidak meminggirkan masyarakat orang asli dan banyak bantuan yang kita berikan kepada mereka,” tambah Wan Rosdy.

Ditanya mengenai dakwaan aktiviti pembersihan hutan di Sungai Lembing yang tular sejak semalam, beliau memberitahu, kenyataan lanjut akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pahang harap kerajaan Persekutuan bina R&R di laluan LTU – MB

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here